Kaedah Sebenar Cara Penyembelihan Halal Mengikut Hukum Syarak


cara sembelihan
Titik sembelihan pada leher haiwan

Penyembelihan dari segi bahasa bererti potong atau belah bagi menghilangkan nyawa binatang. Dari segi syarak bermaksud menamatkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain daripada kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam.

Bahagian yang disembelih adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher. Hendaklah memutuskan halqum (saluran pernafasan) dan mari' (saluran makanan dan minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid. Hukum memutuskan halqum dan mari' adalah wajib manakala memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.

Bagi haiwan yang tidak dapat disembelih pada leher kerana sesuatu sebab seperti haiwan buruan, maka adalah dibolehkan penyembelihan pada mana-mana bahagian anggotanya. Ini adalah untuk mematikannya dengan syarat niat menyembelih.

sembelih haiwan

Hukum Penyembelihan
Hukumnya wajib dilakukan ke atas sesuatu haiwan itu untuk membolehkan dagingnya halal dimakan. Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum Islam diistilahkan sebagai bangkai dan najis.

rukun sembelih

Rukun Penyembelihan

1) Penyembelih
    a) Orang Islam sama ada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak yang mumayiz.
    b) Ahli kitab, sama ada Yahudi atau Nasrani.
    c) Berakal dan berfikiran waras.
    d) Tidak melakukan penyembelihan sewaktu dalam ihram haji (bagi binatang buruan)


2) Binatang yang disembelih

Binatang yang halal daripada jenis binatang yang baik dan tidak mendatangkan mudarat kepada orang yang memakannya seperti ayam, itik, lembu dan sebagainya.

Binatang yang tidak halal dimakan tidak boleh menjadi halal walaupun disembelih dengan sempurna.


Binatang Yang Haram Dimakan

a) Haiwan Darat
Semua haiwan darat dihalalkan untuk orang Islam, kecuali:
  • Babi, anjing dan keturunannya.
  • Haiwan halal tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak
  • Haiwan yang bertaring dan menggunakannya untuk mencakar dan membunuh iaitu haiwan-haiwan buas, contohnya harimau, serigala, beruang, gajah dan sebagainya.
  • Burung yang mempunyai kuku pencakar dan memakan mangsa dengan cara menyambar, contohnya burung helang, gagak, burung hantu dan sebagainya.
  • Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya iaitu seperti tikus, lipas, lipan, kala jengking, dan seumpamanya.
  • Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya iaitu semut dan lebah.
  • Haiwan-haiwan yang dipandang jijik oleh umum, seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.
  • Haiwan yang hidup dua alam, iaitu di air dan di darat seperti katak, buaya, kura-kura dan sebagainya.

b) Haiwan Laut
Pada dasarnya, semua haiwan laut adalah halal bagi orang Islam, kecuali:
  • Haiwan laut yang mengandungi racun.
  • Semau jenis haiwan laut yang boleh memabukkan jika dimakan dan yang mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia.

Alat Penyembelihan
  • Mestilah tajam, boleh melukakan dan mengalirkan darah binatang tersebut. Contohnya seperti pisau, parang dan sebagainya.
  • Tidak diperbuat daripada gigi, tulang atau kuku.

Perkara Sunat Dalam Penyembelihan
  • Membaca basmalah
  • Menghadapakan binatang tersebut ke arah kiblat
  • Membaca selawat ke atas Nabi.
  • Memutuskan dua urat dari kiri dan kanan supaya cepat mati
  • Menggunakan pisau yang tajam
  • Binatang itu dibaringkan di atas rusuk kiri
  • Melakukan penyembelihan dengan segera

Perkara Makruh Dalam Penyembelihan
  • Mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih.
  • Menyembelih hingga terputus kepala.
  • Penyembelihan dilakukan oleh kaum wanita.
----------------------------------------------------------------------------------




Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama