Menjadi Sebaik-Baik Manusia

 


Apakah yang boleh kita lakukan untuk menjadikan anak-anak sebaik-baik manusia?


1) Selalu Berpesan-pesan
    Berpesan kepada anak-anak; jika inginkan kebaikan, kita mestilah terlebih dahulu menjadi baik. Jika hendak menjadi baik, kita mesti berbuat baik kepada orang lain. Apabila berbuat baik kepada orang lain, barulah kita mendapat kebaikan. Bukannya berharap supaya orang lain berbuat baik kepada kita.

Misalnya di sekolah anak-anak mungkin bertemu dengan kawan-kawan yang suka bergaduh, atau suka mengambil hak orang sesuka hati, saling berdengki, cepat marah dan sebagainya. Jelaskan kepada mereka bahawa dalam berkawan banyak menguji kesabaran diri.

Banyakkan menerapkan anak-anak dengan akhlak terpuji Rasulullah s.a.w. Secara tidak langsung, kita melazimkan diri mereka untukberniat sebelum keluar dari rumah untuk menuju ke tempat lain. Mereka akan membawa satu misi iaitu membuat sebanyak-banyak kebaikan kerana Allah s.w.t. Tidak perlu membuat perkara yang besar, lazimkan mereka membuat ibadah yang kecil-kecil pun sudah mencukupi misalnya memberi salam.

2) Memberi Salam
    Memberi salam termasuk dalam perkara yang amat digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia boleh menjadi penyebab orang yang menyebarkan salam memasuki syurga di samping selamat di dunia dan akhirat sebagaimana sabda Baginda, maksudnya: "Sebarkan salam, nescaya kamu semua akan selamat." (Riwayat Ahmad)

Nasihati anak-anak agar memberi salam kepada ibu, ayah, abang, kakak dan adik-adik pada setiap pagi. Jika bertembung dengan jiran apabila keluar dari rumah, ringankan mulut memberi salam. Bagaimana pula dengan orang yang tidak dikenali, adakah perlu memberi salam kepada mereka? Rasulullah s.a.w. pernah ditanya apakah amalan yang terbaik. Baginda menjawab, maksudnya: "Berikan makan dan ucapkan salam, baik kepada orang yang kamu kenal atau tidak." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3) Memberi Senyuman
    Katakan kepada anak-anak, berilah senyuman kepada sesiapa yang ditemui. Ianya salah satu sedekah yang paling murah namun berpahala. Apabila bangun pagi, berilah senyuman yang manis kepada ibu dan ayah. Niatkan dengan senyuman ini dapat mengembirakan hati mereka yang terpaksa meredah jalan ke tempat kerja seawal pagi. Apabila pulang ke rumah dalam keletihan, berikan senyuman kepada mereka. Ianya adalah penawar untuk mereka. Begitu juga menggalakkan mereka senyum apabila berjumpa dengan kawan-kawan.


4) Berkongsi (Sharing is caring)
    Adakalanya, berkongsi adalah perkara yang sukar bagi anak-anak. Anak-anak sentiasa bergaduh jika sesuatu perkara perlu dikongsi lebih lebih barang-barang kesayangan mereka. Amalan tidak suka berkongsi ini turut dibawa ke sekolah seperti tidak boleh berkongsi tempat duduk, pensel warna, pemadan dan sebagainya.

Katakan kepada anak-anak, berkongsi melatih diri supaya memetingkan orang lain. Jika mereka melihat kawan tidak makan, ajak mereka makan bersama. Allah s.w.t. memberkati hidangan yang banyak tangan di dalamnya. Si ibu pula rajin-rajinlah menyediakan bekalan makanan yang lebih supaya boleh dikongsi. Rasulullah s.a.w. tidak makan bersendirian. Baginda pasti mengajak sama ada isteri atau sahabat makan bersama. Inilah rahsia kecintaan atau ikatan kukuh antara sahabat. Oleh sebab itu, anak-anak perlu sering diingatkan supaya membantu atau berkongsi perkara yang baik sama ada di rumah atau di tempat lain.

5) Doa-Mendoakan
    Doa ialah senjata ampuh orang Mukmin dan mereka perlu memperbanyakkan doa setiap hari. Malangnya, ibu bapa jarang memupuk rasa bertanggungjawab berdoa ini kepada anak-anak terutama remaja. Anak-anak perlu tahu bahawa berdoa bukan hanya untuk diri sendiri. Galakkan anak-anak berdoa untuk ibu, ayah, adik beradiknya dan juga kawan-kawannya.

Kenangkan bagaimana Rasulullah s.a.w selalu mendoakan umat Baginda. Baginda juga dikatakan pernah mendoakan orang bukan Islam yang sedang menghadapi kesulitan, inikan kita sesama Muslim. Fahamkan anak-anak salah satu cara supaya doa dimakbulkan Allah s.w.t ialah kita mendoakan orang lain.


Berazam Untuk Menjadi Lebih Baik.
    Inilah prinsip hidup Rasulullah s.a.w. Baginda pernah ditanya oleh sahabat tentang siapa orang paling beruntung, Baginda menjawab, maksudnya: "Sesiapa yang keadaan pada hari ini kualiti hidupnya lebih baik daripada semalam, dialah orang beruntung."

Jadi ibubapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak. Sering bertanya tentang kebaikan yang mereka lakukan seharian baik di sekolah atau pun di tempat permainan.

Semoga cara didikan di atas dapat mendidik anak-anak kita menjadi sebaik-baik manusia. Jika misi ini berjaya, masalah gejala sosial dapat dikurangkan. Semuanya perlu berbalik kepada agama yang sentiasa benar iaitu Islam. Insya'Allah.
---------------------------------------------------------------------------------------------

Mahu Anak Anda Pintar & Pandai Membaca Sebelum Masuk Tadika?

Ketahui bagaimana mendidik anak anda menjadi anak yang pintar cerdas dan pandai membaca sejak kecil disini...

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama