Baru-baru ini sekumpulan saintis berjaya membuat satu penemuan di dalam DNA manusia yang menyebabkan orang menjadi tua berdasarkan penemuan itu, penyelidik dari Institut Kanser Dana Farber percaya mereka telah berjaya memecahkan kod penuaan yang terdapat di dalam rantaian DNA.
Proses penuaan seseorang dikawal oleh telomere yang terdapat pada hujung rantaian kromosom Telomere ini pula berada di pusat kromosom yang terakhir itu. Apabila usia semakin tua. telomere akan mengalami kerosakan dan semakin memendek. Proses ini akan terus berjalan dan telomere akan menjadi semakin pendek setiap kali berlaku pecahan sel sehinggalah sampai pada tahap tertentu, telomere tidak mampu lagi berfungsi dengan baik. Ketika itulah kita akan mula merasai tanda-tanda penuaan seperti kehilangan pendengaran dan kurang ingatan.
"Apabila telomere yang semakin pendek, ia akan mendedahkan seseorang kepada Alzheimer, penyakit jantung, diabetes dan kanser. Semua penyakit itu boleh dihindarkan jika kita dapat mengekalkan tahap kesihatan dan struktur telomere pada bentuk asalnya," jelas Dr. Ronald DePinho, Pengarah Institut Belfer di Institut Kanser Dana-Farber, Boston, Amerika Syarikat.
Telomere adalah penemuan terbaru para saintis yang mengkaji proses biologi manusia, namun hadis Nabi Muhammad SAW telah lama membicarakan tentang tua yang tidak ada ubatnya. Nabi sudah menjelaskan bahawa apabila sampai masanya, tua akan datang dan tidak ada ubat yang boleh menghalangnya. Pada wajah mungkin dapat dielak daripada kelihatan tua namun pada usia sel, ia tidak mampu ditahan. Proses itu akan terus berjalan secara semula jadi.
Ini juga membuktikan kebenaran firman Allah, yang bermaksud, "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih. baik amalnya dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat."- Surah Al-Mulk: 2.
Menurut Profesor Lee Silver dari Universiti Princeton, AS, setiap usaha untuk mengekalkan sesuatu adalah melawan fitrah alam. Kematian adalah selari dengan pembangunan. Kita mewariskan gen kepada generasi berikutnya. Jika kita tidak mati maka kita akan mengorbankan anak-anak kita untuk hidup dan ini tentunya tidak baik untuk perkembangan pembangunan. Setiap yang hidup pasti akan mati, itulah hukum alam yang telah ditetapkan.
RASULULLAH SAW. bersabda, "Wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali ia telah menetapkan baginya penawar, kecuali satu. Mereka bertanya, "Apakah yang satu itu?" Lalu baginda menjawab, "iaitu tua." -Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi
"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan. Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka menangguhkan dan tidak dapat pula mereka meminta mendahulukannya walau sesaat jua pun." - Surah al-Araaf:34
________________________________________________________________



