Mencari Cara Untuk Menurunkan Berat Badan. Wujudkah Cara Ajaib?
Adakah jenis diet yang popular (contohnya tiada karbohidrat, tiada lemak dan makanan tambahan) benar-benar berkesan di dalam proses menurunkan berat badan? Apakah jenis makanan atau diet yang boleh membantu mengurangkan berat badan?
Detoksifikasi juga sangat popular di kalangan rakyat Malaysia. Adakah detoksifikasi (misalnya minum jenis teh tertentu, makan buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja) membantu menurunkan berat badan?
Fad diet adalah rancangan diet yang biasanya menjanjikan penurunan berat badan secara drastik dalam masa yangsingkat. Namun diet ini selalunya tidak menjamin penurunan berat badan untuk jangka masa panjang dan ada diet yang boleh membahayakan kesihatan. Biasanya, suatu fad diet tidak mengandungi kumpulan makanan tertentu (misalnya karbohidrat) atau mengandungi terlalu sedikit kalori.
Walaupun orang ramai tidak menyedari bahawa fad diet tidak memberi manfaat untuk jangka masa panjang, masih ramai sanggup mencuba diet ini. Kerana mereka ingin kelihatan dan berasa bagus dalam masa yang singkat dan fad diet selalunya menjanjikan penurunan berat badan yang cepat dan mudah. Namun berat badan yang hilang itu adalah air, bukannya lemak. Akhirnya berat badan mereka kembali kepada berat badan asal sebelum itu dan lebih berat sekiranya mereka menghentikan diet tersebut.
Cara yang terbaik untuk mengurangkan dan mengekalkan berat badan adalah melalui amalan makan dan gaya hidup sihat. Ini termasuk mengamalkan makanan seimbang iaitu pelbagai jenis dan dalam hidangan yang sederhana, berpandukan piramid makanan dan menjalani aktiviti fizikal.
Selepas anda mencapai berat badan yang sesuai, kekalkan berat anda dengan tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif secara berterusan. Perlu diingat, diet detoks yang dipercayai boleh membantu "membersihkan sistem badan" juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya.
Di sebalik kepercayaan orang ramai, diet detoks mengandungi julap yang menyebabkan anda kerap ke tandas dan hal ini pula boleh mengakibatkan dehidrasi, ketidakseimbangan mineral dan masalah sistem penghadaman.
Bagi kanak-kanak dan remaja terutamanya, jangan sesekali mengamalkan diet detoks kerana mereka memerlukan nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan. Pengambilan nutrien yang terhad boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka.